Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering
berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA
boleh memenangkan para nabiNYA dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku.
Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan
mereka menang. Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak
melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar
masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah: (maksudnya)
“(ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak
itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata
alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan
tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau
berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu
sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya
gugur ke atasmu buah tamar yang masak.” (Surah Maryam 23-25).
Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA
gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya?! Jika
pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat
menggoncang pohon tamar?! Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah
terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya,
usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.
No comments:
Post a Comment